Sign In

CLOSING ceremony for "Program i-Usahawan Startup673: Fasa1"

PRESS INFO

MAJLIS PENUTUP PROGRAM I-USAHAWAN STARTUP673:

FASA 1 - MOH EDITION


Sabtu, 19 Ramadhan 1445H bersamaan 30 Mac 2024M – Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Penutup bagi Program i-Usahawan Startup673: Fasa1 - MOH Edition pada hari ini bertempat di Dewan Al'-Afiah, Kementerian Kesihatan.

 

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan.

 

Program Startup673 yang diikuti oleh seramai 60 perantis i-Ready dari Kementerian Kesihatan merangkumi Fasa 1 bagi Projek Hackathon yang telah bermula pada 19 Februari 2024 dan diadakan selama dua minggu. Program ini memberi peluang kepada para peserta untuk menjadi lebih kreatif dan meneroka kerja dalam bidang teknologi dan inovasi, sambil memupuk kemahiran teknikal mereka. Cabaran yang diketengahkan dalam program ini memberi penekanan kepada cabaran healthcare-oriented dan berfikiran minda keusahawanan.

 

Hackathon bermula dengan Hari Terbuka bagi sesi suai kenal, penubuhan pasukan, dan perjumpaan dengan bakal-bakal penaja yang berpotensi, diikuti dengan bengkel yang khusus untuk builders dan non-builders bagi membuat persediaan program berkenaan. Semasa fasa intensive hacking, setiap pasukan perlu menumpukan perhatian dalam membangunkan idea mereka dan pembentangan terakhir mereka di mana mereka diberikan peluang untuk membentangkan idea-idea inovasi mereka kepada pakar-pakar yang terbabit, menerima maklum balas dan memberikan jalan penyelesaian kepada cabaran-cabaran di bidang penjagaan kesihatan.

 

Sepanjang Hackathon dijalankan, sebanyak 14 pasukan telah ditubuhkan dan berjaya menyampaikan idea-idea mereka berdasarkan komposisi pasukan, inovasi, daya maju, market analysis dan financial projections. Setiap pasukan menumpukan perhatian untuk menangani 7 kenyataan cabaran pilihan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan, termasuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan, memajukan pendigitalan, meningkatkan pengurusan aset, mengoptimumkan latihan Basic Life Support (BLS), meningkatkan kebajikan kakitangan, memperkemas tindak balas bagi kes kecemasan, dan memperhalusi logistik untuk makmal pergigian.

 

Startup673 adalah satu platform di mana inovasi bertemu dengan keusahawanan, memupuk persekitaran yang dinamik untuk mengembangkan idea-idea inovatif dalam memperkembang majukan perniagaan. Program ini dianjurkan bersama oleh Kementerian Kesihatan, Shell LiveWIRE Brunei, The Brunei Economic Development Board melalui Darussalam Enterprise (DARe), Authority for Info-communications Technology Industry of Brunei Darussalam (AITI) yang menggunakan Brunei Innovation Lab (BIL) sebagai platform inovasi.

 

Majlis dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah oleh Ustaz Muhammad Khairunissa bin Hj Muhd Zainin, Guru Ugama Tingkat 2 dan seterusnya sesi perkongsian pengalaman daripada wakil pegawai i-Ready. Tayangan video mengenai Recap dan Highlights sepanjang program dijalankan ditayangkan. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada Tetamu Kehormat Majlis dan penyampaian hadiah kepada para pemenang, diikuti dengan penerangan mengenai Startup673: What's Next? yang disampaikan oleh Yang Mulia Abdul Qawiem Yacob, Programme Director of Shell LiveWIRE Brunei.

 

Majlis penutupan hackathon itu adalah bukti kerja keras, kreativiti dan inovasi semua peserta. Pemenang-pemenang bagi Program i-Usahawan adalah The Youth dengan projek Medical Training Hub yang mana projek mereka berkaitan dengan pangkalan data berpusat (centralised database) bagi pusat-pusat latihan sedia ada bagi menyediakan kursus latihan berkaitan kesihatan dan Kalkulated Viktory / Solve dengan projek One Stop Fix iaitu platform inventori untuk pengurusan alat ganti, termasuk perkhidmatan pembaikan dalaman dengan menggunakan komponen boleh guna semula (reusable components) dan inventori (library) yang mempamerkan bahagian yang tersedia. Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

 

Semua pasukan yang menang menunjukkan idea inovatif sebagai calon yang layak untuk pembiayaan (seed funding) untuk memudahkan fasa seterusnya bagi projek mereka. Sokongan kewangan ini bertujuan untuk membolehkan pasukan-pasukan tersebut mengembangkan dan memperhalusi prototaip mereka ke tahap implementasi.

 

Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya mengunjungi pameran yang dipamerkan oleh pegawai-pegawai i-Ready.

 

Turut hadir di majlis ini ialah Yang Mulia Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Yang Mulia Dr Ang Swee Hui, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Yang Mulia Dyg Siti Ajar binti Haji Yusop, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Yang Mulia Pg Dr Haji Khalifah bin Pg Hj Md Ismail, Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Yang Mulia Haji Jaafar bin Haji Awang Bakar, Corporate Manager, Brunei Shell Petroleum; Yang Mulia Norlela Suhailee, Pengarah Pembangunan Perusahaan di Darussalam Enterprise (DARe); Yang Mulia Julianah binti Haji Ahmad, Deputy Chief Executive, Authority of Info-Communications Technology Brunei Darussalam (AITI) dan Yang Mulia Haji Mohammad Amirul Shahnoel bin Haji Mohammad Noeh, In-Country Value Lead, Brunei Shell Petroleum dan Chairperson of Brunei Innovation Lab, Ketua-Ketua Jabatan, beserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

 

Bagi maklumat lanjut mengenai Startup673 orang ramai boleh melayari laman web Brunei Innovation Lab atau melalui media sosial @startup673.bn

 

-​ T A M A T -

 

Tarikh              : 19 Ramadhan 1445H bersamaan 30 Mac 2024M  

Rujukan           : KK/PR 3/1


Attachments